Thursday 28 March 2013

Mutiara Kata untuk anak-anak



Setiap manusia yang diciptakan adalah unik. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan saling melengkapi di antara satu sama lain.
Rakan sekalian pasti pernah mendengar cerita Profesor Dengan Pengayuh Sampan. Saya tidak tahu sumber tepat bagi cerita ini. Namun begitu, apa yang dikongsikan ini adalah petikan daripada buku Mukmin Profesional – Celik Mata Hati tulisan tuan Pahrol Mohamad Juoi.
Uniknya Manusia – Mempunyai Kelebihan Dan Kekurangan Tersendiri

Profesor Dengan Pengayuh Sampan

Suatu hari seorang profesor menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang pendayung sampan. Di tengah sungai, profesor bertanya, “Kamu pandai menulis dan membaca?”
“Tidak. Saya buta huruf,” jawab pendayung sampan.
“Kalau begitu, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu. Orang yang tidak pandai menulis dan membaca seolah-olah hilang separuh keupayaan untuk hidup dengan berjaya.”
Sampan bergerak perlahan. Tak lama selepas itu, profesor bertanya lagi, “Kamu ada membuat simpanan wang di bank?”
“Tidak. Pendapatan saya hanya cukup-cukup makan,” jawab pendayung sampan lagi.
“Kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang yang tidak menyimpan wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti.”
Sampan terus bergerak. Tiba-tiba sampan itu bocor. Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir tenggelam. Kali ini pendayung sampan bertanya kepada profesor, “Tuan, adakah tuan pandai berenang?”
“Eh…eh…saya tidak tahu,” jawab profesor dengan nada panik.
“Kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!”

Uniknya Manusia – Mempunyai Kelebihan Dan Kekurangan Tersendiri
Benar, manusia bukan lemah tetapi unik. Ia kerana manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri serta saling melengkapi di antara satu sama lain.
Dalam cerita di atas, walaupun profesor pandai menulis dan membaca serta mempunyai simpanan di bank, tetapi dia tidak pandai berenang. Pendayung sampan pula walaupun tidak pandai menulis dan membaca serta tidak mempunyai simpanan di bank, tetapi  dia pandai berenang.
Jika dilihat dari sudut kejayaan:
  1. Profesor berjaya kerana pandai menulis dan membaca serta mempunyai simpanan di bank.
  2. Pendayung sampan berjaya kerana pandai berenang.

Akhir Kata

Uniknya manusia kerana mempunyai kelebihan tersendiri untuk berjaya. ;-)

No comments:

Post a Comment